Isnin, 3 Disember 2012

MAJLIS RAMAH MESRA KETUA SETIAUSAHA NEGARA BERSAMA WARGA KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Para penjawat awam khususnya warga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) disaran agar meneruskan agenda transformasi Kerajaan selaras dengan konsep transformative continuity.



Berucap di Majlis Ramah Mesra Bersama Warga KPM pada 21 November 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ketua Setiausaha Negara, Dato’ Sri Dr. Ali Hamsa berharap warga KPM akan terus menunjukkan prestasi kerja yang baik, bertanggungjawab dan berintegriti dalam melaksanakan amanah yang telah diberikan, selain melipatgandakan usaha untuk memastikan generasi muda Malaysia dididik dan dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang sempurna, dan seterusnya bersama-sama membangunkan negara ke arah mencapai Wawasan 2020.


Menurutnya, "National Education Blueprint" yang masih di peringkat deraf dan terbuka kepada pihak-pihak berkepentingan serta orang awam mencerminkan komitmen Kerajaan untuk mentransformasikan kaedah engagement dengan rakyat dalam penggubalan dasar-dasar Kerajaan.


“Hanya menerusi engagement yang berkesan dengan stakeholders, Kerajaan secara am dan sektor perkhidmatan awam secara khususnya, dapat memenuhi ekspektasi rakyat dalam segi penyampaian perkhidmatan awam yang efisien dan berkesan”, tambahnya.


Dato’ Sri Dr. Ali juga menggesa penjawat awam agar mempraktikkan konsep ‘Merakyatkan Perkhidmatan Awam’ dalam menjalankan tanggungjawab dan terus meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat kerana akhirnya, penjawat awam yang juga merupakan rakyat akan mendapat faedahnya.


Dalam masa yang sama, Dato’ Sri Dr. Ali turut meminta Ketua-Ketua Jabatan untuk ‘turun padang’ dengan kerap bagi mengeratkan silaturrahim di antara pihak pengurusan dengan pegawai dan kakitangan di jabatan masing-masing bagi mewujudkan hubungan kerja yang harmoni, selain memastikan perancangan dasar di pihak pengurusan tertinggi dapat dilaksanakan dengan lancar oleh kumpulan pelaksana.


Selain memberi peluang kepada pihak pengurusan memahami kekangan atau masalah yang dihadapi oleh pegawai dan kakitangan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab seharian mereka, persekitaran bekerja mereka juga perlu dipastikan selesa dengan infrastruktur yang mencukupi.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha KPM, Dato' Dr. Rosli Mohamed, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Dato' Abd Shukor Ibrahim dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Dato' Wan Khazanah Ismail.

Dato’ Sri Dr. Ali turut memaklumkan mengenai 6 prinsip yang digariskan oleh Perdana Menteri untuk diamalkan penjawat awam iaitu Cepat, Tepat dan Integriti (CTI) serta Produktif, Inovatif dan Kreatif (PCI), di mana penjawat awam perlu bertindak dengan cepat dalam membuat keputusan secara tepat atau melaksanakan arahan tanpa ditangguh.

Menurutnya, penjawat awam juga perlu menjaga imej perkhidmatan awam selain meningkatkan produktiviti seiring dengan kenaikan gaji, serta berfikiran kreatif dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat secara inovatif.

Beliau berharap warga KPM yang juga terdiri daripada warga pendidik generasi muda Malaysia menghayati dan mengaplikasi prinsip CTI-PCI dalam melaksanakan tanggungjawab membentuk bangsa Malaysia yang kreatif, inovatif dan dinamik.

Sumber - Blog Kementerian Malaysia

0 ulasan:

Catat Ulasan