Ahad, 30 September 2012

KATA HUBUNG

Hasil Pembelajaran

Pada akhir pelajaran, murid-murid dapat

1. Mengenal pasti jenis-jenis kata hubung
2. Mengisi tempat kosong dengn kata hubung yang sesuai.
3. Mengenal pasti kesalahan penggunaan kata hubung dalam ayat.
4. Membina ayat yang betul dengan menggunakan kata hubung yang sesuai.
Kata Hubung

Perkataan yang bertugas untuk menghubungkan atau menyambungkan dua ayat tunggal atau lebih daripada dua ayat tunggal. Ayat yang terhasil daripada penyambungan dua ayat atau lebih daripada dua ayat dinamakan ayat majmuk.

Kata Hubung Gabungan


Kata hubung gabungan menyambungkan dua ayat yang sama penting kedudukan. Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (Nik Safiah Karim et. al: 2004 : 239), kata hubung gabungan ialah jenis kata yang menghubungkan dua klausa atau lebih yang sama taraf sifatnya. Ayat yang terbentuk yang menggunakan kata hubung gabungan ini disebut ayat majmuk gabungan.

Contoh:

1. Dia membuka almari lalu mengambil bajunya.
2. Roziah mendengar radio sambil menggosok baju.



Kata hubung pancangan menyambungkan satu ayat induk dengan satu atau lebih ayat kecil.
         Ayat utama                        Ayat Kecil
1. [ Asmah senyum ] kerana [ dia sangat gembira ]
2. Kami akan berhenti menjalani latihan bola sepak jika hujan bertambah lebat.
3. Dia tidak putus asa walaupun dia tidak berjaya dalam temuduga tersebut.

Menurut Tatabahasa Edisi Baharu (Nik Safiah Karim et. al : 2004 :240), kata hubung pancangan ialah jenis kata hubung yang menyambung klausa-klausa tak setara atau klausa pancangan pada klausa utama atau klausa induk. Kata hubung pancangan terbahagi kepada tiga jenis, iaitu :

1.    Kata hubung pancangan relatif
2.    Kata hubung pancangan komplemen
3.    Kata hubung pancangan keterangan

Kata hubung pancangan relatif.
Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (Nik Safiah Karim et. al : 2004 : 240), kata hubung pancangan relatif atau ringkasnya kata relatif ialah kata yang berfungsi menghubungkan klausa utama dengan satu klausa kecil yang lain. Bentuk kata hubung pancangan relatif ialah "yang".

Kata hubung pancangan komplemen.
Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (Nik Safiah Karim et. al : 2004 : 241), kata hubung, pancangan komplemen berfungsi menghubungkan satu klausa yang menjadi komplemen atau pelengkap pada satu klausa utama. Dua contoh kata komplemen yang sering digunakan ialah "bahawa" dan "untuk".

Kata hubung pancangan keterangan
Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (Nik Safiah Karim et. al : 2004 : 241), kata hubung pancangan keterangan berfungsi menghubungkan klausa yang menjadi keterangan pada satu klausa utama. Contoh kata keterangan adalah seperti; "kerana, hingga, kalau, agar, jika, sungguhpun, supaya, apabila".

0 ulasan:

Catat Ulasan