Surat Kiriman Tidak Rasmi
Anda diminta menulis surat kepada
rakan anda untuk menceritakan tentang persediaan yang anda lakukan untuk
menghadapi peperiksaan UPSR.
No. 74, Taman Seri
Merapoh,
27210 Merapoh,
Kuala Lipis,
Pahang. Darul
Makmur.
26 Januari 2011
Assalamualaikum.
Menemui sahabatku Amir yang kini berada di Pulau Pinang, semoga dalam keadaan
sihat sejahtera di samping keluarga. Saya dan keluarga di sini sihat-sihat
sahaja.
Sahabatku,
Apa khabar saudara
sekarang? Bagaimana dengan persediaan saudara untuk menghadapi peperiksaan UPSR
yang akan kita hadapi pada bulan September nanti? Untuk pengetahuan saudara, saya
telah membuat beberapa persediaan bagi menghadapi peperiksaan tersebut. Antara
persediaan yang saya buat adalah dengan mengulang kaji pelajaran pada waktu
malam. Saya belajar dari pukul 8.00 malam hingga pukul 11.00 malam setiap hari.
Semasa belajar di kelas pula,
saya akan menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap pengajaran guru. Jika
saya tidak faham akan sesuatu pelajaran semasa belajar di kelas, saya akan
segera bertanya guru supaya saya dapat mengikuti pelajaran itu sebaik
mungkin.
Ibu bapa saya pula
telah menghantar saya belajar ke kelas tambahan sebanyak dua kali seminggu
untuk memastikan saya cemerlang dalam pelajaran. Saya amat berterima kasih atas
usaha mereka itu. Saya berazam akan belajar bersungguh-sungguh untuk tidak
menghampakan harapan kedua-dua ibu bapa saya.
Di samping itu,
saya juga pergi ke perpustakaan sekolah dan Perpustakaan Awam Merapoh untuk
meminjam buku-buku rujukan. Biasanya saya pergi ke Perpustakaan Awam Merapoh
pada hujung minggu sekiranya ada kelapangan masa. Di situ juga saya boleh
berbincang dengan kawan-kawan tentang topik-topik yang agak sukar untuk
difahami dan bertukar-tukar nota.
Itulah antara
persediaan saya untuk menghadapi peperiksaan UPSR. Saya berharap kita akan
dapat menjawab soalan dengan mudah dalam peperiksaan itu nanti. Sama-samalah
kita berdoa agar mendapat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut
dan seterusnya berjaya melanjutkan pelajaran ke salah sebuah sekolah menengah
yang terpilih.
Setakat ini sahaja
yang dapat saya coretkan buat tatapan saudara kali ini. Akhir sekali, sambutlah
salam ingatan saya untuk saudara serta keluarga.
Sahabatmu,
.............................
(Khairi bin Zaideen )
0 ulasan:
Catat Ulasan